Ke Mana Hilangnya Makanan Ruji Rakyat Malaysia?

By: Ainie Haziqah

Published: 01 March 2025

Malaysia ini bumi bertuah. Sejak awal lagi, negara kita ini dilaungkan sebagai kurniaan yang majmuk, subur tanahnya, dan kaya dengan hasil bumi. Di sebalik kemajuan yang kita nikmati hari ini, asas kepada ekonomi kitaran rakyat itu disumbangkan oleh sektor agrikultur. Jolokan “periuk nasi negara” itu jelas dilihat sepanjang jajaran negeri Kedah, Perlis, dan di Seberang Jaya.

Sudah tentunya, sebagai negara pengeluar makanan, pelbagai kemusykilan timbul apabila satu demi satu rungutan berkenaan ketidakcukupan beras tempatan kedengaran. Hal ini bukan lagi merupakan satu anekdot awam, tetapi turut mula disebut oleh pengilang, pengedar, dan penjual beras.

Mangsa Syarikat Besar

Terbaru, sebuah kilang pemprosesan padi Bumiputera terbesar di Perlis, Kilang Dibuk Sdn Bhd, berkemungkinan “tutup kedai” selepas sekian tahun menanggung defisit jutaan ringgit. Biarpun dengan pengalaman beroperasi selama 57 tahun, kilang tersebut tidak lagi mampu bertahan berikutan harga belian padi yang tinggi dalam kala harga lantai beras semasa ditetapkan kerajaan.

Kesan ekonominya bukan sahaja melibatkan pengusaha kecil dan sederhana (IKS) seperti Dibuk Sdn Bhd, tetapi juga nasib pekerja dan petani yang bergantung kepada permintaan daripada syarikat-syarikat IKS tempatan seperti Dibuk. Kesannya, jurang pembelian padi dan jualan harga beras tempatan itu hanya dapat ditanggung oleh pengilang-pengilang besar.

Ketirisan Subsidi

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada menyebut bahawa harga lantai jualan tersebut akan disemak semula, isunya lebih kompleks daripada faktor harga
sematamata. Utamanya bagi MUDA, subsidi yang diberikan untuk mengawal harga beras
tempatan itu seharusnya disalurkan dengan lebih tersasar kepada petani dan pembeli akhir, yang rata-ratanya bergolongan marhaen.

Isu ketirisan dalam penyaluran subsidi ini banyak melibatkan mereka yang tidak lagi mengusahakan sawah ataupun tidak terlibat dalam penggunaan baja dan benih padi – yang kemudiannya dijual semula kepada petani pada harga yang lebih tinggi. Setelah dua tahun pemerintahan MADANI, kerajaan sudah seharusnya mempunyai suatu sistem yang lebih cakna terhadap manipulasi dan salah guna. 

Sekiranya subsidi yang ada benar-benar sampai kepada pesawah, mereka bukan sahaja dapat mengawal kos input dengan lebih berkesan, tetapi juga meningkatkan kapasiti pengeluaran dan produktiviti petak sawah.

Kemerosotan Penanaman Padi & Pengeluaran Beras

Hakikatnya, sebagai sebuah negara pengeluar beras, laporan daripada Khazanah Research Institute (KRI) menunjukkan bahawa pengeluaran beras berkurang sebanyak 0.7% dalam tempoh 2013 hingga 2021, selain daripada pengurangan keluasan sawah padi dan juga produktiviti pengeluaran tanaman padi. Kadar kebergantungan negara kepada beras import juga meningkat dalam tempoh 2021 hingga 2022.

Situasi ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan negara kita mempunyai iklim dan kesuburan tanah yang sesuai untuk bukan sahaja mempunyai bekalan beras tempatan yang mencukupi, tetapi juga untuk dieksport, sekali gus menambah baik kedudukan kewangan pemain sektor agrikultur negara.

Isu ketidakcukupan beras tempatan ini bukan suatu krisis yang baru. Sejak tahun 2023 lagi, pengusaha Mydin Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin, ada menyebut ketidakmampuan Mydin sebagai penjual untuk mendapatkan bekalan beras tempatan sekurang-kurangnya pada kadar 50:50 kepada beras import. 

Selain faktor jurang harga dan kekurangan hasil, pihak kerajaan juga perlu menyiasat dakwaan bahawa beras tempatan telah dicampuradukkan dengan beras import atau disalinkan pakejnya untuk dijual pada harga pasaran yang lebih tinggi.  

Pihak kerajaan perlu mengambil serius perkara ini, memandangkan sebarang kenaikan atau ketiadaan alternatif tempatan akan memberi kesan langsung kepada kos perbelanjaan seisi rumah rakyat Malaysia. 

Makanan ruji rakyat negara ini tidak sepatutnya membebankan, apatah lagi langsung tiada di pasaran.

---------------
Ainie Haziqah adalah Setiausaha Agung MUDA.
 Artikel

Ke Mana Hilangnya Makanan Ruji Rakyat Malaysia?

01 March 2025

Bailout SAPURA: Bukti Kasih Madani Kepada Mahakaya

18 March 2025

Muda now identifies itself as social democratic party

14 June 2024