Ucapan Perbahasan YB Amira Aisya

Berikut adalah ucapan perbahasan YB Amira Aisya sebagai ADUN Puteri Wangsa bagi Persidangan Dewan Negeri Johor Penggal ke-2 DUN Johor ke-15. Ucapan ini dibuat pada 19 Mac 2023.

  • Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
  • Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas ruang yang diberikan untuk berucap bagi sesi Sidang Dewan Negeri Johor Penggal ke-2 DUN Johor ke-15.
  • Yang Berhormat Speaker, Exco-Exco Kerajaan dan Ahli-Ahli Dewan sekalian, saya berbesar hati untuk menjunjung titah ucapan DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.

REFORMASI DEWAN NEGERI JOHOR

  • Dalam ucapan kali ini, saya mempunyai satu visi yang besar kepada negeri Johor.
  • Ini adalah sesi ketiga yang saya hadir setelah diangkat menjadi ADUN Puteri Wangsa.
  • Banyak yang saya belajar, dan banyak isu dasar yang saya telah angkat di dalam Dewan Negeri Johor.
  • Saya percaya Dewan Negeri Johor ini bukan sahaja satu tempat yang mulia – tetapi ia juga ada potensi yang besar untuk membawa negeri Johor menjadi sebuah negeri yang berdaya saing dan maju.
  • Maka, suka untuk saya angkat visi pertama saya dalam ucapan ini iaitu REFORMASI DEWAN NEGERI JOHOR.
  • Banyak perkara yang boleh kita reformasikan di dalam Dewan Negeri Johor.
  • DYMM Tuanku Sultan juga telah bertitah untuk mengubah cara fikir dan budaya di dalam Dewan Negeri Johor dengan mengubah gelaran Pembangkang kepada satu gelaran baru iaitu ADUN Pengimbang Kerajaan. Patik menjunjung kasih atas titah ini.
  • Gelaran ini adalah satu hal yang sangat baru dan segar. Ia sekaligus mengubah cara kita berfikir tentang peranan dan tanggungjawab Pembangkang.
  • Saya nak tambah lagi beberapa hal yang boleh kita reformasikan dalam pentadbiran Dewan Negeri Johor.

Pertama – Peruntukan sama rata untuk semua 56 ADUN Johor

  • Ini adalah polemik yang sedang dan sentiasa berlaku di peringkat Pusat apabila peruntukan yang sama rata tidak diberikan kepada semua Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang.
  • Saya sangat bersyukur kerana di Johor ini, kita antara Negeri yang ambil langkah pertama di bawah pentadbiran YB Benut dengan memperkenalkan peruntukan sama rata.
  • Saya puji juga usaha baik untuk menyambung usaha ini.
  • Saya percaya dalam isu ini, tak perlu saya tekankan betapa pentingnya peruntukan kawasan yang saksama kepada semua.
  • Daripada pengurusan pejabat, ke projek kecil sehinggalah pergerakan di peringkat komuniti, kawasan setempat serta bantuan masyarakat memang banyak bergantung kepada peruntukan ADUN.
  • Saya ingin mencadangkan agar Johor sekali lagi menjadi Negeri contoh dengan menjadikan Peruntukan Saksama kepada semua ADUN sebagai satu Enakmen yang akan diikuti oleh Kerajaan Johor pada tahun-tahun akan datang bukan sahaja pada kali ini.
  • Sebagai wakil rakyat, kita tidak perlu menunggu setiap penggal untuk menentukan sama ada peruntukan akan diberikan atau tidak kerana kita berada di sini untuk berkhidmat.
  • Kita juga tak perlu tunggu Akta ini untuk lulus dan digazetkan di Peringkat Persekutuan dahulu. Kita sama-sama tunjuk pada bangsa Johor bahawa semua wakil rakyat dalam Dewan pada hari ini meletakkan kebajikan Bangsa Johor lebih tinggi daripada agenda parti politik.
  • Hak rakyat di setiap DUN harus dijaga dengan sempurna, tidak kira parti politik mana yang memegang kuasa. Peruntukan DUN tidak harus diguna pakai sebagai alat politik. Perkara ini secara tidak langsung juga dapat menjamin kestabilan sesebuah Kerajaan di Johor.

Kedua – Dekatkan hubungan Dewan Negeri Johor bersama rakyat Johor dengan cadangan siaran langsung perbahasan

  • Ini hal yang mungkin nampak remeh tetapi sebenarnya memberikan makna yang besar kepada usaha reformasi Dewan Negeri Johor.
  • Sejak Parlimen adakan siaran langsung persidangan, rakyat lebih cakna dengan apa yang berlaku kepada pentadbiran negara.
  • Saya percaya siaran langsung ini bukan sahaja penting, ia juga memberi ruang kepada Negeri Johor untuk tunjukkan kepada rakyat bahawa kita memang benar-benar serius berbahas tentang dasar dan isu rakyat.
  • Kalau ada yang buat perangai tak senonoh, biar rakyat melihat dan menilai.
  • Pun begitu, saya percaya bahawa ADUN Johor semuanya ada sikap dan adab yang baik. Elok kita tunjukkan kepada negeri dan negara bahawa Dewan Negeri Johor ini terbaik dari sudut dasar dan budaya kerja.
  • Maka saya mohon untuk beri perhatian kepada Agenda Reformasi Dewan Negeri Johor.

PERUBAHAN IKLIM SEBAGAI AGENDA UTAMA NEGERI JOHOR

  • Isu banjir dan bencana alam yang terkini ini telah memberikan impak besar kepada lebih 74,000 mangsa dan telah meragut nyawa rakyat negeri Johor.
  • Walaupun sudah ada usaha untuk tangani isu ini, saya percaya perlu juga ada usaha lebih untuk menjamin keselamatan bangsa Johor secara menyeluruh.
  • Di Puteri Wangsa terdapat tujuh (7) Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dibuka bagi memberi perlindungan sementara kepada mangsa banjir.
  • 31. Beberapa kawasan yang terjejas termasuklah Kampung Tengah, Kampung Paya Kenangan dan Taman Istimewa.
  • Jadi ini adalah saranan saya kepada Kerajaan Negeri dalam agenda perubahan iklim Johor.

Pertama – Sistem Amaran Awal Banjir bagi Penduduk di Lapangan

  •  Isu banjir bukanlah isu baru di negeri Johor.
  • Bahkan bagi mangsa-mangsa banjir, ia sudah menjadi satu kebiasaan setiap kali turun hujan tanpa henti.
  • Ini bukan fenomena normal, dan adalah wajar untuk diberikan perhatian sepenuhnya terhadap isu banjir.
  • Ini bukan isu kerajaan Persekutuan sahaja mahupun kerajaan negeri. Dua-duanya bertanggungjawab.
  • Perkara yang berkaitan dengan perubahan iklim dan bencana alam bukanlah isu yang hanya dihadapi oleh Malaysia semata-mata, bahkan negara-negara seperti Indonesia, Bangladesh dan Vietnam turut mengalami cabaran yang sama.
  • Di Jakarta, Indonesia, Sistem Kawalan Banjir yang digunakan adalah bersifat untuk memberi amaran awal kepada penduduk dan pihak berkuasa sebelum berlakunya bencana banjir.
  • Sistem ini berbentuk sensor fasiliti amaran awal seperti siren dan kemudahan lain terutama di kawasan hotspot yang mampu meramalkan kemungkinan banjir serta mempertingkatkan kaedah penanganan dalam keadaan berlakunya banjir.
  • Malaysia mempunyai sistem yang serupa dengan Sistem Kawalan Banjir di Indonesia, yang dikenali sebagai Infobanjir.
  • “Update” terkini berkaitan ramalan hujan dan paras air diberikan pada laman web tersebut.
  • Maklumat yang diperoleh daripada sistem ini tidak disebarkan kepada orang ramai, terutamanya penduduk di kawasan yang tidak mempunyai akses internet yang stabil.
  • Saya faham isu ini memerlukan kerjasama daripada pihak berkuasa dan rakyat.
  • Maka, saya harap agar pihak berkuasa menjadi lebih peka dengan situasi di lapangan dan meningkatkan penyampaian maklumat dan kesedaran.

Kedua – Skim Insurans bagi Golongan B40

  • Sebagai ADUN Johor, kita telah mengangkat sumpah untuk memastikan tidak ada Bangsa Johor yang ditinggalkan, jadi wajarlah bantuan diberikan kepada mereka yang lebih cenderung terdedah kepada bencana banjir.
  • Salah satu cara untuk menangani hal ini adalah dengan menyediakan skim insurans kepada mereka yang sering dilanda bencana banjir.
  • Contoh nyata adalah penduduk di Kampung Paya Kenangan yang sering mengalami banjir setiap kali hujan turun tanpa henti. Selain kerugian harta benda yang sudah tidak terkira, mereka juga terkesan daripada segi kesihatan.
  • Kita tidak buat skim insurans tetapi hanyalah bantuan khas secara bermusim sahaja. Ia harus dimasukkan dalam dasar kerajaan Negeri Johor untuk memastikan semua rakyat Johor merasa selamat dengan sebarang bencana yang tidak pasti bila akan jadi.
  • Saya harap kita semua dapat bekerjasama untuk setuju dalam menyediakan skim insurans yang merupakan langkah proaktif untuk meringankan beban rakyat yang terkesan akibat bencana banjir yang kini berlaku hampir tiap-tiap bulan.

MEMBUKA RUANG AUTONOMI KEPADA INSTITUSI TVET YANG BERTAPAK DI JOHOR BERBANDING NEGERI LAIN

  • Saya tertarik dengan kenyataan yang dibuat oleh MB Johor bahawa Johor telah mencatatkan penerimaan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam negara bagi tahun lalu iaitu sebanyak RM70.6 bilion.
  • Pelaburan besar ini telah membuka lebih 12,000 pekerjaan berimpak tinggi di Johor.
  • Cabaran kita hari ini adalah untuk menguruskan potensi Johor yang besar dan kaya ini. Peluang kerja harus diisi, pekerja harus menjadi enjin yang menggerakkan ekonomi negeri Johor.
  • Maka saya cadangkan untuk menguruskan cabaran ini – kita perlu sedaya upaya memberikan ruang autonomi kepada semua institusi TVET yang bertapak di Johor berbanding negeri lain.
  • Apa autonomi yang saya maksudkan?
  • Autonomi untuk institusi TVET Johor bekerjasama secara langsung dengan semua industri yang melabur di Johor supaya pembelajaran murid tertumpu kepada bidang berkaitan industri di Johor.
  • Misalnya, pelaburan hab pusat data Johor iaitu Taman Pusat Data Hijau YTL, Taman Teknologi Nusajaya dan Lembah Teknologi Sedenak. Ini semua memerlukan pekerja yang dilatih dengan lebih rinci oleh industri pusat data.
  • Permintaan untuk pusat data dijangka akan berkembang pada tahap 12.9 peratus setiap tahun dengan nilai pusat data dunia bakal mencecah AS$517.17 menjelang 2030.
  • Ini kita kena cari tenaga kerja. TVET adalah potensi besar untuk membekalkan tenaga kerja dan pemberian autonomi dapat membantu kita latih dan hasilkan pekerja yang berkualiti untuk ekonomi negeri Johor.
  • Saya memang memandang tinggi dengan usaha kita wujudkan Sillicon Valley sendiri di Johor. Maka kita harus usaha ke arah itu bermula dari autonomi TVET.

PENUTUP

  • Saya dengan penuh rendah diri ingin mengucapkan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk berucap dalam dewan yang mulia ini.
  • Setiap kali saya hadir ke sini, saya sentiasa akan diingatkan bahawa setiap masa dan ketika yang kita luangkan di sini adalah amanah dan pinjaman dari rakyat.
  • Masih ada ramai rakyat Johor yang hidupnya susah, melarat dan tenat.
  • Maka, saya ingatkan diri saya dan semua untuk sentiasa bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk Johor dan isinya.
  • Saya akan jalankan tanggungjawab saya sebaik mungkin untuk berkhidmat sebagai ADUN Pengimbang Kerajaan. Ayuh sama-sama buang yang keruh, kita ceduk yang jernih.
  • Junjung kasih ke atas titah DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar. Semoga kita semua diberi kesihatan dan rezeki yang baik untuk negeri Johor Darul Takzim.
  • Amin ya Rabbal al Amin.
Scroll to Top