Tak Mahu Mansuh AUKU?

Protes terkini yang dianjurkan oleh Ikatan Demokratik Mahasiswa Malaysia telah menimbulkan pelbagai diskusi dan perbahasan mengenai undang-undang kuno Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang bertujuan untuk membatasi autonomi mahasiswa dan kebebasan bersuara.

Dalam salah satu manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 adalah untuk menghapuskan AUKU. Namun begitu, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah beliau ada menyatakan bahawa kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menghapuskan AUKU sepenuhnya, hanya beberapa bahagian yang membatasi gerakan dan aktiviti mahasiswa sahaja.

Tujuan penghapusan AUKU adalah untuk mengangkat suara mahasiswa, supaya suara mereka dapat didengari dan dihargai tanpa campur tangan universiti, atau ancaman yang menghalang mahasiswa untuk menghadiri kegiatan yang berunsurkan sifat politik atau ‘mengganggu keharmonian’.

Sudah tiba masanya akta kuno ini dihapuskan dan dikembalikan semula autonomi kepada mahasiswa untuk memimpin dan menentukan aktiviti yang boleh dijalankan di universiti mereka sendiri.

Pada tahun 2018, dalam manifesto PH pada PRU14 ada menyatakan untuk menghapuskan undang-undang penindasan di bawah Janji 27, yang diulangi juga pada PRU15 ketika Ketua Pemuda PH, Kelvin Yii menyatakan bahwa janji ini adalah “serius” dan akan dilaksanakan.

Namun, setelah memegang tampuk kuasa, janji tersebut diabaikan dan tidak dipenuhi menunjukkan kurangnya iltizam politik untuk menghapuskan akta yang disebut-sebut pada Youth Empowerment Fair 2023 dianjurkan oleh Perdana Menteri sendiri. Dalam program tersebut, beliau berubah fikiran dan menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk menghapuskan akta itu.

Adakah ini nilai yang ingin ditunjuk oleh Kerajaan Perpaduan sekarang?
Adakah ini juga apa yang Dato’ Seri Anwar Ibrahim ingin perjuangkan?
Sebuah undang-undang yang digunapakai untuk melarang perbincangan di kampus Universiti Malaya pada tahun 2014?

Pelajar rempuh masuk Universiti Malaya untuk hadiri pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika manifesto ini hanya sekadar manifesto, perkara ini akan menghalang pengundi muda dan mahasiswa untuk mengundi kerana janji untuk mengangkat suara mereka tidak lagi dipertimbangkan.

Membatasi suara mahasiswa dengan undang-undang hanya akan menyukarkan mahasiswa untuk menentang sistem lapuk yang tidak relevan dan akan membesarkan lagi rasa takut dalam kalangan mahasiswa untuk mengadakan program dialog damai yang kini dianggap “mengganggu keharmonian kampus”.

Mungkin kerajaan sekarang sedang membahaskan isu ini, tetapi sudah masanya untuk kembalikan semula autonomi mahasiswa dan memberikan mereka kebebasan bersuara sekarang. Membuka peluang untuk mengadakan lebih banyak lagi program ilmiah agar suara, pendapat, dan nilai-nilai mereka dapat didengar, dilihat, dan dipertimbangkan.

Ditulis oleh: Melanie Ting Yi-Hlin.


Scroll to Top