Apa Itu MUDA

September 17hb 2020. Hari yang ikonik. Pada pagi 17hb, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilengkapi 12 individu penaja yang lain, bersama penyokong hadir ke pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM, ROS) untuk menghantar borang permohanan bagi mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia atau Malaysian United Democratic Alliance (MUDA), sebagai parti politik.  

Ia menandakan pertama kalinya dalam era pasca-merdeka sebuah wadah politik yang berasaskan kepedulian generasi yang komited terhadap idealisme politik baru ditubuhkan untuk bertarung dalam gelanggang politik kepartian nasional Malaysia. 

Bertitik tolak daripada kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum 2018, dan kesaksian disintegrasi kerjasama antara parti komponen kerana Langkah Sheraton pada Februari 2020, MUDA diilhamkan sebagai motor politik yang bertegas melampaui pergelutan personaliti pemimpin, sebaliknya berteraskan kepada gerakan dan politik gabungan yang pro-rakyat dan berbasis luas. MUDA berpacu di atas landasan kepelbagaian ras, kesederhanaan, berpandukan dasar sosial, pro-pembaharuan dan bergerak berakarkan komuniti di ruangan lapangan. 

Kesedaran yang membawa kepada asal mula penubuhan MUDA boleh disumberkan kepada sekurang-kurangnya dua arus utama. Walaupun berbeza dan bercirikan dinamikanya yang sendiri, masing-masing arus berkenaan saling berkait dan berhubungan ahli dan wacananya. 

Arus pertama melibatkan Syed Saddiq dan lingkungannya yang menjalankan gerak libat urus dan mobilisasi yang menjangkau kemudiannya kepada sebuah gabungan besar melibatkan budayawan dan seniman, usahawan muda, pembuat dasar, aktivis NGO dan yayasan sosial, dan mantan pegawai kementerian dan badan pemikir dan kajian. Arus kedua melibatkan NGO dan kelompok sosial kaum muda, kolektif aktivis dan belia, dan kesatuan serta persatuan mahasiswa. Dua arus utama ini berserta sokongan kolektif dan gerakan kaum muda yang lain kemudiannya bertemu dan berhimpun di sebuah perkumpulan dipanggil Rundingan Muda Malaysia pada Ogos 31hb, 2020 bertempat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di Kuala Lumpur. 

Sejak dari perhimpunan bertanda penting tersebut dan kelangsungan penubuhan MUDA, wadah ini kini telah berkembang sebagai gerakan politik luas merentasi keseluruhan negara Malaysia dari Sabah ke Pulau Pinang, dan Perlis ke Johor, dengan keahlian penyokong sekitar 44,000 dan masih bertambah setiap hari. 

Walaupun, sehingga hari ini pendaftaran MUDA sebagai parti tidak diluluskan, MUDA menongkah arus sebagai gerakan politik kemudaan yang menjalankan hubungan politik dan elektoral, kerja kemasyarakatan di lapangan, dan menyuarakan isu-isu sosial seiring dengankeberpihakkan kepada rakyat dan tumpuannya kepada kesaksamaan ekonomi, masyarakat inklusif, pembangunan lestari dan permerkasaan institusi awam. 

Budi. Tara. Serta.
MUDA sentiasa.
MUDA untuk semua.
September 17, 2021

NOTA KAKI : MUDA telah diluluskan pada 23 Disember 2021. 

Scroll to Top