Amira Aisya Abd Aziz berusia 27 tahun dan merupakan Setiausaha Agung MUDA. Amira percaya bahawa Dewan Undangan Negeri Johor perlukan pemimpin yang mengangkat politik khidmat kepada rakyat Johor serta dasar yang adil dan saksama bagi memastikan Johor Bangkit menjadi sebuah negeri yang maju dan berjaya.
Pencalonan Amira Aisya Abd Aziz sebagai calon dalam pilihan raya ini adalah selaras dengan usaha MUDA untuk menampilkan pimpinan yang muda, aktif di dalam politik khidmat serta sentiasa fokus dalam merangka dasar yang adil dan saksama untuk Johor
Amira Aisya Abd Aziz merupakan pengasas bersama parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan merupakan Setiausaha Agung MUDA. Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor 2022, Amira Aisya telah menjadi Calon MUDA DUN Puteri Wangsa N41.
Amira Aisya merupakan anak kelahiran Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru. Amira dibesarkan oleh ibu tunggal bersama empat orang adik beradik yang lain. Ayah Amira meninggal pada tahun 2007, ketika Amira berumur 12 tahun. Amira mendapat pendidikan rendah dan menengah di Sultan Ibrahim Girls School, Johor Bahru dan kemudian meneruskan pengajian di UIA mengambil jurusan Ijazah Sarjana Undang-Undang.
Amira merupakan salah seorang ahli Johor Student Leaders Council (JSLC) sewaktu berusia 16 tahun dan kemudian menjadi salah seorang perancang strategik dan panel penasihat di Johor Student Leaders Council Alumni (JSLCA) ketika berumur 18 tahun. Pada tahun yang sama, Amira juga merupakan ahli termuda dalam Majlis Mesyuarat Perunding dan Penasihat Undang-Undang Kanak-Kanak Kebangsaan. Sepanjang di JSLCA, Amira telah melatih lebih 10,000 pemimpin pelajar di seluruh Johor dan merupakan Pengarah Model United Nations Johor ke 3 buah negara.
Amira juga telah menjayakan Model United Nations pertama di Johor untuk pelajar-pelajar sekolah harian kerana Amira percaya bahawa pelajar sekolah kebangsaan berhak mendapat peluang yang sama dengan pelajar-pelajar sekolah swasta.
Amira juga pernah dilantik menjadi jurulatih kepimpinan untuk Program Duta Jauhar 3.0, sebuah program keusahawanan sosial untuk mahasiswa-mahasiswa Johor. Setelah menamatkan latihan dalam kamar, Amira mula bekerja di Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) di bawah Kementerian Pendidikan yang memfokuskan dasar dan kajian perlaksanaan pelan pendidikan negara. Amira menjaga inisiatif Pendidikan Abad Ke- 21 serta inisiatif Literasi dan Numerasi.
Amira juga merupakan pengarah bersama di Youth KL Summit pada tahun 2019. Apabila Amira menamatkan khidmat bersama PADU, Amira mula menjadi pegawai penyelidikan di Parlimen Muar sejak tahun 2020 sehingga kini.