5 Asas MUDA
Politik Demokratik
Masyarakat Malaysia sudah lama terpinggir daripada struktur kuasa dan proses pembuatan keputusan dalam negara dan pembangunan dasar. Ia termasuk golongan belia, wanita, orang asli dan warga minoriti. Proses monopoli dan hierarki kuasa perlu diratakan, supaya suara dan idea yang baru dapat menentukan hala tuju dan masa depan Malaysia, dan MUDA adalah wadah utama dalam memimpin perjuangan ini.
Politik Baru
Politik baru mementingkan nilai dan praktik demokratik, membangunkan demokrasi akar umbi bagi memberdayakan komuniti dan ahli dalam parti. Bertumpu kepada isu-isu yang terdekat, dan menghasilkan penyelesaian dan rencana gerak kerja yang lebih relevan dan berguna kepada keadaan dan daerah setempat.
Keadaan Ekonomi
Pembentukan sistem pengagihan semula kekayaan yang saksama untuk setiap lapisan dan sektor masyarakat di Malaysia. Pelaksanaan jaringan keselamatan sosial yang rentas etnik, agama, geografi dan lokasi, termasuk hak dan bantuan kebajikan untuk golongan miskin dan terpinggir dalam masyarakat.
Martabat Manusia
Kemajuan dan ketamadunan, bersama teras dan kompas moral sebuah masyarakat bergantung kepada cara ahli-ahlinya menjaga dan memberi perhatian terhadap nilai kemanusiaan untuk seluruh warganya termasuk komuniti-komuniti yang paling terpinggir dan memerlukan, dan secara sosial dan sejarahnya didiskriminasi.
Parti Untuk Semua Rakyat Malaysia
Politik nilai yang rentas etnik, agama, geografi dan lingkungan umur adalah masa depan negara Malaysia. Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang, keturunan, kepercayaan, budaya dan fahaman. Kepelbagaian ini adalah keadaan yang seharusnya diraikan dan dipertahankan, dan bukan dianggap sebagai beban dan sumber serta percikan untuk memecahbelahkan masyarakat Malaysia.