Sejarah MUDA
Perjalanan perjuangan MUDA dari penubuhan hingga kini
Perjalanan MUDA
Evolusi perjuangan demi masa depan Malaysia
Penubuhan MUDA
Bertitik tolak daripada kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum 2018 dan disintegrasi kerjasama antara parti komponen akibat Langkah Sheraton pada Februari 2020, MUDA diilhamkan sebagai gerakan politik yang bertekad melampaui pergelutan personaliti pemimpin, sebaliknya berteraskan kepada gerakan politik pro-rakyat yang inklusif.
Pada pagi 17 September 2020, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bersama 12 individu penaja yang lain, hadir ke pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM, ROS) untuk menyerahkan borang permohonan bagi mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia atau Malaysian United Democratic Alliance (MUDA) sebagai sebuah parti politik.
Pengiktirafan Rasmi
Sejak dari perhimpunan tersebut, MUDA berkembang sebagai gerakan politik yang merentasi Malaysia, dari Sabah ke Pulau Pinang, Kedah hingga ke Johor, dengan keahlian penyokong yang kini menjangkau sekitar 40,000 dan terus bertambah setiap hari.
Pada 23 Disember 2021, MUDA secara rasmi diluluskan sebagai sebuah parti politik oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, sekaligus menandakan permulaan fasa baharu perjuangannya dalam kancah politik negara.
Pelancaran dan Debut Pilihan Raya
Pada 11 Februari 2022, MUDA dilancarkan secara rasmi melalui Pelancaran MUDA, menandakan permulaan aktif parti dalam arena politik Malaysia.
MUDA membuat debut pilihan raya dalam Pilihan Raya Negeri Johor 2022, bertanding di 7 kerusi dan berjaya memenangi kerusi Puteri Wangsa melalui Setiausaha Agung pada masa itu, YB Amira Aisya.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 2022, MUDA bertanding di 6 kerusi Parlimen iaitu Muar, Tanjung Piai, Tanjung Karang, Kepala Batas, Masjid Tanah dan Kota Marudu, Sabah. Kesemua kerusi yang ditandingi merupakan kerusi penyandang menteri, menjadikan pertandingan amat mencabar. MUDA berjaya memenangi kerusi Parlimen Muar melalui YB Syed Saddiq.
Transisi Kepimpinan
Setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) 6 negeri pada 2023, dan berikutan keputusan mahkamah yang mendapati Syed Saddiq bersalah, YB Amira Aisya dilantik sebagai Pemangku Presiden MUDA pada 10 November 2023.
Setelah menghadapi pilihan raya berturut-turut sejak MUDA didaftarkan secara rasmi pada 2021, parti memberi tumpuan kepada pengukuhan dalaman. Agenda utama adalah untuk mengukuhkan struktur organisasi dan memantapkan kedudukan MUDA sebagai kuasa ketiga dalam arena politik Malaysia.
Fasa Rejuvenasi
Dalam fasa rejuvenasi pada tahun 2024, YB Amira Aisya bersama pimpinan pusat & negeri telah melakukan perubahan struktur kepimpinan serta memastikan governance yang lebih mantap dalam parti. Ini termasuklah pelancaran portal keahlian yang baharu, pengenalan Sekolah Politik untuk ahli-ahli berkaitan demokrasi sosial — yang kini menjadi ideologi rasmi MUDA.
Pemantapan Parti
Pada tahun 2025, MUDA meneruskan proses rejuvenasi dan pemutihan, memantapkan struktur dalaman parti dan memastikan asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan.
Sebagai parti kuasa ketiga, MUDA terus bekerjasama dengan parti-parti lain berdasarkan isu-isu tertentu, memastikan suara rakyat didengar tanpa terikat kepada blok politik tertentu.
Pilihan Raya Parti
Pada 14 Mac 2026, MUDA berjaya mengadakan pemilihan parti yang pertama. Sebanyak 25 ahli Jawatankuasa Kerja Eksekutif Pusat (JKEP) telah dipilih oleh 125 perwakilan daripada 25 bahagian. YB Amira Aisya kemudiannya dilantik sebagai Presiden MUDA oleh JKEP yang baru dibentuk, menandakan permulaan era kepimpinan baharu yang dipilih secara demokratik.
Pencapaian Utama
Angka-angka yang membuktikan impak MUDA
40K+
Ahli Aktif
11
Negeri
5+
Tahun Perjuangan
50+
Program Advokasi