Pemangku Presiden MUDA

09 October 2025

Belanjawan 2026 Madani: Harapan atau Solusi?

Belanjawan 2026 kali ini adalah yang keempat dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sepanjang tempoh ini, beliau masih merangkap jawatan Menteri Kewangan, meskipun bertentangan dengan prinsip tadbir urus yang sering dijajakan kepada awam.

Jika kita mengambil kira garis masa Pilihan Raya Umum akan datang, Belanjawan 2026 ini juga boleh dianggap sebagai peluang terakhir Perdana Menteri untuk meletakkan kedudukan fiskal dan kewangan negara pada landasan yang betul.

Benar, saya menyebutnya sebagai “terakhir” kerana terdapat kemungkinan bahawa belanjawan seterusnya akan lebih menjurus kepada elemen “feel good” bagi meraih sokongan pengundi.

Tiga tahun adalah tempoh yang cukup panjang sejak kepimpinan MADANI mengambil alih kuasa. Jika sebelum ini MADANI boleh menyandarkan angka semasa kepada sisa peninggalan pemerintahan terdahulu, kali ini rakyat mampu membuat penilaian yang lebih objektif berasaskan angka dan fakta.

Melihat kepada statistik sedia ada, dua (2) perkara amat membimbangkan.

MADANI PERLU SEGERA MENGUKUR BAJU DI BADAN SENDIRI

Pertama, saya berpandangan kerajaan MADANI mempunyai kecenderungan untuk berbelanja lebih besar berbanding pendapatan yang dijana negara. Bahkan sebenarnya kerajaan Malaysia berbelanja lebih besar peratusnya daripada negara maju seperti Singapura dan Indonesia yang ada populasi tertinggi di rantau Asia Tenggara. 

Ini amatlah menghairankan rakyat.

Sejak permulaan pentadbiran MADANI pada tahun 2022, peratusan hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah meningkat daripada 60.2% kepada 64.3% (2023) dan dijangka 64.6% (2024). Defisit fiskal negara pula sekitar 4.1% (2024), jauh daripada sasaran RMK12 (3.5%) dan RMK13 (3%).

Benar, memang perbelanjaan defisit adalah satu dasar fiskal yang normal tetapi pandangan ini hanya boleh diterima sekiranya hutang yang diambil digunakan bagi tujuan pembangunan (development expenditure/devex). Namun, keadaan sebaliknya yang sedang berlaku. Berbanding negara jiran seperti Filipina, Thailand dan Vietnam, perbelanjaan devex Malaysia adalah antara yang terendah iaitu sekitar 20.4% (2025).

Maksudnya, sebahagian besar perbelanjaan kerajaan MADANI adalah ke arah perbelanjaan operasi dan tidak mencerminkan cita-cita reformasi yang sering dicanangkan Perdana Menteri.

Biarpun terdapat pembangunan infrastruktur yang digerakkan, sebahagian besar daripadanya boleh disifatkan sebagai kesinambungan dasar dan mandat biasa kepada mana-mana kerajaan yang diberi kuasa memerintah.

Maka selepas tiga (3) tahun, kesimpulan mudah tabiat berbelanja yang kurang berproduktif Kerajaan MADANI adalah berbahaya, tidak sihat dan tidak menambahkan keupayaan kewangan negara.

GOLONGAN MAHAKAYA MASIH JADI ANAK EMAS MADANI

Kedua, saya melihat negara kita masih jauh daripada memasyarakatkan lebihan hasil, khususnya dalam konteks percukaian progresif. Antara cadangan MUDA sebelum ini termasuklah pelaksanaan cukai keuntungan modal ke atas pegangan awam, cukai kekayaan luar biasa dan cukai pusaka.

Terlalu kontroversial? Tidak mengapa. Jika kerajaan MADANI sekadar melaras kadar cukai pendapatan individu, khususnya bagi kumpulan berpendapatan tertinggi (seperti pendapatan 1% teratas), ada perkiraan yang menjangkakan kerajaan boleh menjana sekurang-kurangnya RM2.5 bilion setahun.

Saya fikir untuk parti politik yang sudah bertahun-tahun menggunakan golongan mahakaya untuk tarik undi rakyat kebanyakan, ini logik asas dan mudah untuk dibuat segera. Malangnya tiga kali belanjawan dibentangan PMX tetapi golongan mahakaya masih menjadi anak emas.

Sebagai contoh, dalam reformasi subsidi bahan api. Walaupun bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat, sebahagian besar manfaat turut dinikmati oleh isi rumah berpendapatan tinggi. Data menunjukkan isi rumah T20 membelanjakan purata RM541 sebulan untuk petrol RON95, berbanding hanya RM189 bagi M40 dan RM105 bagi B40.

Tanpa had penggunaan yang munasabah atau pengecualian untuk golongan ini, subsidi akan terus dinikmati oleh mereka yang tidak memerlukannya, sekali gus menyeleweng daripada tujuan asal.

RANCANGAN KEWANGAN YANG PRO-RAKYAT

Setelah tiga tahun belanjawan dibentangkan, saya fikir sudah tiba masanya kerajaan umumkan rancangan kewangan yang lebih radikal untuk rakyat. Pembaikan infrastruktur rakyat sudah tenat dan harus diangkat menjadi projek mega yang sebenar. Lihat sahaja di kawasan pedalaman Sabah, umpamanya.

Pelaburan besar juga harus diletakkan dalam sektor pendidikan negara. Bangunkan sekolah-sekolah daif, pedalaman dan segera atasi masalah sekolah lebih murid. Warga guru dan pendidik harus terus mendapat sokongan besar dengan menambah bilangan kakitangan, latihan dan kerangka pendidikan yang lebih kontemporari. Jika jumlah pelajar yang tidak mahu melanjutkan pelajaran di universiti dan kolej tidak membimbangkan kerajaan MADANI, saya risau dengan masa hadapan negara.

Kesihatan harus dimartabatkan semula. Belajar dari sejarah pandemik COVID19. Jika waktu itu, kita semua lantang bersuara untuk para kakitangan kesihatan negara, hari ini inilah golongan yang paling selalu diketepikan, kes-kes tekanan dan beban kerja yang melampau dan tawaran pendapatan tidak selari dengan jumlah kakitangan yang tidak pernah cukup. Hospital dan pejawat kesihatan kerajaan sudah berada dalam status yang tenat.

Saya juga tidak mahu lagi ulas dan tekankan keperluan untuk membangunkan kemudahan asas rakyat seperti pengangkutan awam, perumahan mampu milik dan kos sara hidup. Jika kerajaan MADANI turun ke padang, maka sudah ada banyak yang kongsikan suara susah dan sakit mereka.

Pokoknya, ini belanjawan terakhir untuk kerajaan MADANI benar-benar serius mengambil jalan radikal dan utamakan rakyat kebanyakan.

Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mahu memimpin, pimpinlah dengan iltizam rakyat di dada.