Penjelmaan MADANI dari Reformasi ke Autokrasi

Ahmad Zarul Afiq

16 December 2025

Sedar tidak sedar, sudah tiga tahun kerajaan MADANI ini memerintah. 

Jikalau sebelum ini kerajaan reformis itu jatuh atas sebab Langkah Sheraton, ramai awalnya berfikir kali ini agenda reformasi itu akhirnya dapat diterjemahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Namun jauh panggang dari api, semakin lama makin jelas dilihat bahawa reformasi yang kuat dilaungkan itu hanyalah suatu perangkap imaginasi buat kami yang dahagakan pembaharuan.

Saya fikir rakyat sudah dapat menilai tatakelola yang disebut-sebut YAB PM itu tidak dapat diterjemahkan dengan perubahan struktural, lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Tidak ubah seperti tahun-tahun yang lampau, institusi-institusi awam kita masih tidak bebas daripada pengaruh sang penguasa. 

Tatake-laut

Hampir tiga dekad berlalu sejak krisis kehakiman lewat 80-an, Perdana Menteri masih mempunyai kuasa untuk mencalonkan pilihan beliau ke Suruhanjaya Pelantikan Hakim (JAC). 

Keputusan terbaru lantikan PM ke JAC bukan sahaja telah menyimpang daripada amalan biasa berdasarkan senioriti, tetapi juga melibatkan figura yang masih berdepan dakwaan serius yang belum disiasat dan dijelaskan secara terbuka, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelusan, integriti dan kebebasan institusi kehakiman.

Institusi timbal balik kita seperti Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) juga diragui dapat berdiri sendiri tanpa pengaruh badan Eksekutif. Kedua-dua ini tidak dapat dilihat sebagai bebas terutamanya dalam konteks siastan dan pertuduhan yang melibatkan pengaruh politik.

Dalam mana Setiausaha Politik Kanan PM, Datuk Seri Shamsul Iskandar dihadapakan tuduhan mengambil rasuah, puluhan pertuduhan rasuah yang antaranya melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi, tidak pula diteruskan biarpun telah melepasi tahap prima facie di mahkamah. 

Dari lawan ke kawan

Begitu juga apabila Ketua Pengarah SPRM, Datuk Azam Baki, masih kekal berjawatan biarpun terpalit dengan isu-isu tadbir urus, yang turut pernah dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang kini bergelar menteri seperti YB Fahmi Fadzil.

Sudah tentunya karakter-karakter yang terlibat umpanya dalam JAC, AGC & SPRM ini tidak akan bertindak semberono, memandangkan lantikan mereka adalah kata putus PM itu sendiri. 

Jikalau wakil rakyat PKR sendiri boleh diserbu SPRM tanpa sebab apabila berpaling tadah daripada menyokong kem anak kepada Presiden parti, apatah lagi rakyat biasa yang tidak berkepentingan.

Saya melihat perkembangan mutakhir ini tidak lagi terjerumus kepada kepentingan politik MADANI semata-mata, tetapi seolah-olah seperti barah yang telah meresap dalam sistem kenegaraan kita apabila mereka yang terpilih diberikan layanan yang berbeza seolah-olah tidaknya lagi terpakai undang-undang.

Keadilan itu bukan sekadar prinsip, tetapi perlu dilaksanakan dan terlihat sebagai terlaksana. Justice must be seen to be done.

Jikalau tidak, manakan mungkin rekod kerakyatan dan pemberian kewarganegaraan juga boleh dipalsukan semata-mata untuk dijulang sebagai jagoan bola sepak. 

Biarpun saya menulis sebagai pemimpin politik MUDA yang berada di barisan pembangkang, isu ini bukan lagi bukan sekadar buahan politik, tetapi ia kini melibatkan masa depan negara kita yang semakin menjerumus kepada suatu autokrasi yang berpaksikan “the law of the jungle”.