- Laporan media antarabangsa, Bloomberg, hari ini melaporkan berkenaan keengganan Perdana Menteri, DS Anwar Ibrahim untuk mendedahkan laporan berkenaan hasil siasatan terhadap skandal Tan Sri Azam Baki. Ini menimbulkan persoalan yang besar dan serius tentang komitmen kerajaan termasuk Perdana Menteri dalam melawan rasuah dan salahgunakuasa di negara ini.
- Beberapa minggu lepas, DS Anwar Ibrahim sendiri telah berkongsi berkenaan laporan terhadap skandal Tan Sri Azam Baki sudah siap dan sepatutnya terus dibentang di Kabinet. Namun begitu, sehingga ke hari ini, laporan ini masih belum didedahkan kepada umum, seolah-olah memberi gambarawan bahawa wujud usaha untuk melindungi Tan Sri Azam Baki. Ini adalah bercanggah dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang diangkat kerajaan MADANI.
- Dalam isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri, sebarang kelewatan bukan sahaja mencetuskan keraguan, malah terus menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi anti-rasuah negara.
- Lebih membimbangkan, timbul pula spekulasi bahawa Tan Sri Azam Baki yang sedang berdepan pelbagai persoalan integriti dan skandal ini mungkin akan dilantik ke jawatan awam seperti Senator.
- Seseorang yang sedang dikaitkan dengan isu integriti, salah guna kuasa dan dakwaan berkaitan rasuah tidak sepatutnya dipertimbangkan untuk sebarang pelantikan ke jawatan awam, apatah lagi ke Dewan Negara.
- Pelantikan sedemikian, jika berlaku, akan menghantar isyarat bahawa akauntabiliti boleh diketepikan, dan kedudukan digunakan sebagai perlindungan.
- Kerajaan tidak boleh terus mempertahankan atau melengahkan pendedahan dalam isu ini tanpa menanggung implikasi besar terhadap kredibiliti sendiri.
- Reformasi institusi tidak boleh sekadar menjadi slogan politik. Ia mesti dibuktikan melalui tindakan yang tegas, telus dan konsisten termasuk dalam kes yang melibatkan individu berprofil tinggi.
- MUDA mendesak kerajaan untuk segera mendedahkan sepenuhnya hasil siasatan tersebut dan memastikan tiada sebarang pelantikan dibuat selagi isu ini belum diselesaikan secara tuntas. MUDA juga mahu Tan Sri Azam Baki direhatkan dari jawatan sedia ada.
- Integriti institusi negara tidak boleh dikompromi demi melindungi mana-mana individu.
- Jika Perdana Menteri memilih untuk terus melindungi Azam Baki, maka yang dipertahankan bukan lagi integriti negara, tetapi kepentingan politiknya sendiri.
Biro Politik
MUDA