- Parti MUDA menyatakan sokongan penuh terhadap sekumpulan anak muda Malaysia di bawah inisiatif "Mana Hutan Kami" yang telah memfailkan tindakan undang-undang dengan menyaman kerajaan bagi menuntut agar komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% litupan hutan terus dihormati dan dilaksanakan.
- Usaha ini mencerminkan satu realiti penting bahawa generasi muda hari ini tidak lagi sekadar menunggu tindakan, tetapi bersedia untuk mengambil langkah berani demi mempertahankan masa depan mereka.
- Komitmen untuk mengekalkan litupan hutan bukan sekadar dasar alam sekitar. Ia adalah janji negara yang mempunyai implikasi besar terhadap keseimbangan ekologi, keselamatan sumber air, ekonomi jangka panjang, serta kesejahteraan generasi akan datang.
- Tindakan oleh kumpulan "Mana Hutan Kami" ini juga menunjukkan bahawa apabila institusi gagal bertindak dengan tegas, rakyat khususnya anak muda akan mencari jalan untuk memastikan akauntabiliti ditegakkan.
- MUDA percaya bahawa usaha ini harus dilihat sebagai satu panggilan kepada semua pihak termasuk kerajaan untuk mengambil tanggungjawab yang lebih serius dalam melindungi hutan dan alam sekitar negara.
- Kami menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memberi perhatian sewajarnya terhadap tuntutan ini dan memastikan segala komitmen berkaitan pemeliharaan hutan dilaksanakan dengan telus dan berkesan.
- Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada janji tanpa tindakan. Masa depan negara termasuk kelangsungan alam sekitar kita memerlukan komitmen yang nyata dan segera.
Geethananthini
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP)