Persidangan Menteri-Menteri Global Kedua bagi Menamatkan Keganasan Terhadap Kanak-Kanak yang berlangsung di Manila, Filipina pada 18 hingga 19 November 2026 seharusnya menjadi peringatan penting kepada Malaysia bahawa keselamatan dan kebajikan kanak-kanak memerlukan komitmen berterusan, bukan sekadar janji dan dasar di atas kertas.
UNICEF melalui kenyataannya pada 18 November menegaskan bahawa negara-negara perlu menterjemahkan komitmen antarabangsa kepada pelaburan sebenar dalam sistem perlindungan kanak-kanak, persekitaran sekolah yang selamat serta perkhidmatan sokongan kepada keluarga dan komuniti.
Di Malaysia, sehingga ke hari ini, kita masih berhadapan dengan kes-kes buli, keganasan, penderaan dan pembunuhan yang membimbangkan, khususnya dalam persekitaran sekolah. Setiap kali berlakunya kejadian yang menyayat hati ini, perkara pertama yang kita dengar adalah pengumuman untuk siasatan dan janji penambahbaikan.
Namun, persoalan yang lebih besar ialah apakah langkah keselamatan jangka panjang yang benar-benar kita bina untuk anak-anak kita?
MUDA mengakui bahawa Malaysia telah mempunyai pelbagai dasar, perundangan dan pelan tindakan berkaitan perlindungan kanak-kanak, termasuk Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan 2026-2030, Akta Kanak-Kanak 2001 serta garis panduan pengurusan salah laku buli di sekolah.
Namun, persoalan yang perlu dijawab bukan lagi sekadar berapa banyak dasar yang telah digubal, tetapi sejauh mana dasar-dasar tersebut benar-benar dilaksanakan dan memberikan kesan pembangunan yang lebih baik kepada kehidupan kanak-kanak di negara ini. Tidak ada gunanya kita mempunyai dasar yang baik di atas kertas, sekiranya pelaksanaannya tidak sampai kepada anak-anak dan rakyat.
Negara seperti Finland melalui program KiVa telah memperkenalkan pendekatan pencegahan buli yang melibatkan keseluruhan komuniti sekolah, latihan guru, intervensi dan pemantauan berterusan. Australia pula membangunkan prinsip keselamatan kanak-kanak yang menekankan tanggungjawab institusi, mekanisme aduan yang selamat serta penglibatan kanak-kanak dalam keputusan yang melibatkan mereka.
Malaysia boleh mempelajari pendekatan ini, khususnya dari segi latihan guru, sistem aduan yang lebih efektif dan intervensi awal bermula saat aduan sampai. Ini banyak dapat mengelakkan perkara yang jauh tidak diingini berlaku.
Sehubungan itu, MUDA menggesa kerajaan memberikan perhatian kepada lima perkara utama:-
Pertama, memperkukuh sistem pencegahan dan intervensi awal di sekolah. Setiap sekolah perlu mempunyai mekanisme aduan yang selamat, tenaga pengajar yang dilatih dalam perlindungan kanak-kanak serta akses kepada kaunselor dan sokongan profesional yang terlatih. Pengendalian kes buli tidak boleh terhenti setakat tindakan disiplin atau penutupan fail, sebaliknya mesti memastikan keselamatan dan pemulihan mangsa secara berterusan.
Kedua, memastikan perlindungan kanak-kanak dilaksanakan sehingga ke peringkat komuniti. Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, serta agensi-agensi seperti pihak polis, JKM, ibu bapa dan organisasi masyarakat perlu bekerjasama serta bertanggungjawab dari segala aspek. Kita tidak boleh meletakkan sepenuhnya tanggungjawab ini kepada pihak sekolah dan guru semata-mata.
Ketiga, memperkukuh keselamatan makanan dan akses pendidikan yang saksama. Tiada kanak-kanak seharusnya tercicir daripada pendidikan atau hadir ke sekolah dalam keadaan lapar akibat kemiskinan. Program bantuan makanan, sokongan persekolahan dan akses pendidikan perlu dipastikan benar-benar sampai kepada keluarga berpendapatan rendah, masyarakat luar bandar serta komuniti yang terpinggir. Negeri Selangor telah mula mengadakan sarapan percuma NutriSel dan pastinya mekanisme yang sama boleh diperluas ke negeri-negeri lain.
Keempat, memastikan pendidikan inklusif dan perlindungan kepada kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk kanak-kanak dalam spektrum. Mereka berhak mendapat akses pendidikan yang bersesuaian, tenaga pengajar terlatih, kemudahan sokongan dan perlindungan daripada diskriminasi serta buli. Keperluan mereka tidak boleh terus dianggap sebagai perkara sampingan dalam pembangunan dasar pendidikan negara.
Kelima, mewujudkan mekanisme pemantauan dan akauntabiliti yang telus terhadap pelaksanaan dasar sedia ada. MUDA menggesa kerajaan menerbitkan Kad Skor Pelaksanaan Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan 2026-2030 secara berkala, bermula dengan laporan tahun pertama pelaksanaannya.
Kad skor ini perlu memperincikan kemajuan setiap komitmen, keberkesanan intervensi, pencapaian mengikut negeri, penggunaan peruntukan, jurang pelaksanaan serta langkah pembetulan yang diambil oleh agensi bertanggungjawab.
Ini penting kerana kejayaan sesuatu dasar tidak boleh diukur hanya melalui jumlah program yang dianjurkan, peruntukan yang diumumkan atau kes yang ditandakan selesai. Sebaliknya, kejayaan mesti diukur melalui perubahan sebenar terhadap keselamatan, kesejahteraan dan kehidupan kanak-kanak.
Kanak-kanak berhak membesar tanpa ketakutan, mendapat akses pendidikan yang berkualiti, menikmati makanan yang mencukupi serta menerima perlindungan tanpa mengira latar belakang keluarga, kedudukan ekonomi atau keupayaan mereka.
Sudah tiba masanya Malaysia beralih daripada budaya bertindak selepas tragedi kepada pendekatan yang benar-benar mengutamakan pencegahan, intervensi awal dan perlindungan berterusan.
Keselamatan dan kebajikan kanak-kanak bukan sekadar pilihan dasar. Ia adalah tanggungjawab negara yang WAJIB diterjemahkan kepada tindakan.
AINIE HAZIQAH SHAFII
Setiausaha Agung
MUDA
20 November 2026