Saya memandang serius polemik berhubung keputusan kerajaan meluluskan
pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor
(KLSCAH) selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000.
Pada asasnya, saya berpandangan bahawa pemeliharaan bangunan bersejarah dan
institusi warisan negara tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan keuntungan
komersial, apatah lagi dijadikan bahan perbalahan politik berasaskan kaum dan agama.
KLSCAH bukan sekadar sebuah bangunan yang mewakili masyarakat Cina. Bangunan
ini mempunyai nilai sejarah yang melangkaui sempadan kaum, malah pernah menjadi
saksi kepada perkembangan politik dan pembentukan negara.
Antaranya, pertemuan antara pemimpin UMNO dan MCA pada tahun 1952 yang menjadi
sebahagian daripada asas kerjasama politik Parti Perikatan. Malah, bangunan ini turut
mempunyai kaitan dengan sejarah penubuhan MCA pada tahun 1949.
Sejarah sedemikian membuktikan bahawa ruang yang pada asalnya diwujudkan oleh
sesuatu komuniti boleh berkembang menjadi tempat pertemuan, perbincangan dan
kerjasama masyarakat berbilang kaum.
WARISAN BUKAN SEKADAR SEJARAH LAMA, TETAPI RUANG YANG TERUS
HIDUP DAN DIGERAKKAN BERSAMA
Apa yang lebih penting, KLSCAH sehingga hari ini terus memainkan peranan sebagai
ruang yang membuka peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk berkumpul,
berkarya, menyuarakan pandangan dan menganjurkan aktiviti kemasyarakatan.
Saya sendiri melihat bagaimana ruang ini terus dimanfaatkan oleh pelbagai kelompok
masyarakat, termasuk gerakan politik, penggiat seni, aktivis dan masyarakat sivil.
Pada Jun 2026, MUDA telah menganjurkan Malam Suara MUDA di KLSCAH bagi
mengumpul dana untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor. Program tersebut bukan
sekadar medan mengumpulkan sokongan dan dana, tetapi turut menjadi ruang untuk
mempertemukan individu yang berkongsi aspirasi terhadap masa depan politik negara.
Selain itu, Pesta Kuala Lumpur Zine Etc. 2026 yang berlangsung di KLSCAH turut
Selain itu, Pesta Kuala Lumpur Zine Etc. 2026 yang berlangsung di KLSCAH turut
memperlihatkan bagaimana bangunan bersejarah ini terus dimanfaatkan sebagai ruang
kebudayaan dan kesenian yang inklusif.
Pesta tersebut mencatatkan sambutan yang amat menggalakkan, khususnya dalam
kalangan golongan muda dan Gen Z yang meminati budaya penerbitan bebas (indie),
seni DIY serta penulisan alternatif.
Penglibatan penerbit bebas, pengkarya, penulis dan penggiat seni daripada pelbagai
latar belakang membuktikan bahawa KLSCAH bukan hanya berfungsi untuk satu
kelompok masyarakat. Sebaliknya, ia menjadi ruang pertemuan idea, kreativiti dan
pertukaran budaya.
Saya sendiri berpeluang hadir dan terlibat dalam sidang media sulung saya sebagai ahli
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) MUDA ketika sidang media sempena Hari Pekerja
(May Day) 2026 di KLSCAH.
Pengalaman tersebut memberikan gambaran jelas bahawa ruang seperti KLSCAH turut
menjadi tempat gerakan masyarakat sivil, pekerja, aktivis, pertubuhan politik dan
pelbagai kelompok masyarakat menyampaikan suara serta memperjuangkan
kepentingan bersama.
Justeru, amat tidak wajar sekiranya nilai sesebuah institusi hanya dilihat berdasarkan
identiti kaum yang diwakilinya, sedangkan sumbangan dan peranannya telah melangkaui
batas komuniti tersebut.
JANGAN JADIKAN PEMELIHARAAN WARISAN SEBAGAI PERTANDINGAN
SENTIMEN KAUM
Dalam isu premium tanah RM1,000 ini, saya berpandangan bahawa perbahasan awam
perlu berlandaskan fakta, ketelusan dan prinsip keadilan.
Penjelasan kerajaan bahawa perubahan status tanah daripada komersial kepada institusi
menyebabkan potensi pembangunan komersial dilepaskan merupakan perkara yang
wajar diambil kira dalam memahami keputusan tersebut.
Namun begitu, kerajaan juga perlu memastikan bahawa kaedah penilaian dan
pertimbangan khas yang diberikan kepada KLSCAH dapat dijelaskan secara terbuka
serta dilaksanakan secara konsisten terhadap institusi warisan lain.
Sekiranya kerajaan bersedia memberikan pertimbangan khas kepada sebuah institusi
bersejarah, maka institusi lain yang mempunyai kepentingan sejarah dan kebudayaan
kepada negara juga sewajarnya diberikan pertimbangan yang adil, tanpa mengira kaum,
agama atau latar belakang komuniti.
Saya tidak mahu melihat pemeliharaan warisan negara menjadi pertandingan untuk
Saya tidak mahu melihat pemeliharaan warisan negara menjadi pertandingan untuk
menentukan komuniti mana yang lebih layak mendapat perhatian kerajaan.
Sebaliknya, kita harus bertanya bagaimana negara dapat memastikan semua warisan
yang membentuk identiti Malaysia terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan
datang.
Jangan sampai bangunan yang pernah menjadi tempat pemimpin pelbagai kaum
mencari titik persamaan dalam sejarah negara akhirnya menjadi medan untuk ahli politik
mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.
WARISAN KITA, TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Malaysia dibina melalui sumbangan pelbagai kaum, budaya, bahasa dan kepercayaan.
Sejarah negara tidak boleh dipisahkan mengikut garis kaum kerana setiap komuniti
mempunyai peranan dalam membentuk masyarakat yang kita nikmati hari ini.
Saya percaya bahawa pemeliharaan warisan perlu menjadi agenda nasional yang
inklusif. Kerajaan perlu mempunyai dasar yang jelas untuk melindungi bangunan
bersejarah, ruang kebudayaan, institusi masyarakat dan tempat yang menjadi saksi
kepada perjalanan negara.
Kita tidak seharusnya hanya menghargai warisan apabila ia menjadi kontroversi politik.
Kita sepatutnya menghargainya sepanjang masa.
Warisan bukan milik satu kaum. Warisan ialah amanah bersama seluruh rakyat
Malaysia.
DANIEL LIM
DANIEL LIM
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP)
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA