MUDA Desak RUU Pindaan Perlembagaan Berkenaan Pemisahan Peguam Negara Dan Pendakwa Raya Diteliti Semula

Ainie Haziqah

Setiausaha Agung MUDA & Peguam

27 February 2026

Saya merujuk kepada RUU Pindaan Perlembagaan berkenaan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang mana secara prinsipnya, MUDA menyokong dan mahu melihat reformasi ini terjadi. Namun begitu, saya percaya bahawa pemisahan ini tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku hanya atas nama pemisahan tanpa meneliti dengan lebih mendalam soal ketelusan dan proses semak imbang. RUU ini masih perlu penelitian secara menyeluruh sebelum proses pengundian dijalankan.

Saya menyebut sedemikian kerana matlamat utama reformasi adalah untuk memastikan Pendakwa Raya dan Peguam Negara benar-benar bebas daripada pengaruh Eksekutif atau Perdana Menteri secara dasarnya.

PINDAAN YANG MASIH BELUM BENAR-BENAR BEBAS

Dalam cadangan pindaan ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) adalah badan yang mencadangkan calon Pendakwa Raya kepada YDPA. Namun begitu, keanggotaan SPKP masih dengan jelas dianggotai oleh ahli-ahli yang mana Pengerusinya adalah dilantik oleh Perdana Menteri. Apakah keperluan perlantikan ini dibuat oleh Perdana Menteri jika keraaan benar-benar mahu kedua-dua jawatan besar ini bebas dari mana-mana pengaruh?

Ini bermakna pengaruh Eksekutif masih wujud secara tidak langsung pada peringkat pencalonan, walaupun pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah dilaksanakan secara formal.

Kedua, RUU ini turut meminda komposisi SPKP dengan memasukkan Peguam Negara dan Peguam Cara Negara sebagai anggota, di samping Peguam Negara juga kekal sebagai anggota SPKP. Ini tidak seharusnya berlaku. 

MUDA berpandangan bahawa komposisi SPKP wajar dinilai semula bagi mengurangkan risiko konflik kepentingan. Perubahan ini penting memandangkan SPKP turut berperanan mengurus representasi tindakan tatatertib terhadap Pendakwa Raya. Pastinya risiko konflik berkepentingan boleh berlaku dan ini jelas melanggar prinsip pemisahan kuasa yang sepatutnya.
 
Kita sedia maklum bahawa prinsip keadilan prosedural itu menuntut pemisahan yang jelas antara badan pencalonan dan pihak yang berkepentingan dalam sistem pendakwaan.
 
KEPENTINGAN MELALUI PARLIMEN

Selain itu, RUU ini tidak memperuntukkan sebarang peranan Parlimen dalam proses tapisan atau pengesahan pelantikan Pendakwa Raya. Sejak awal lagi, segala desakan terhadap pemisahan kuasa ini menuntut Peguam Negara melapor kepada Parlimen. Parlimen ini ertinya kuasa yang dapat didengari rakyat.

Rakyat layak mengetahui secara terbuka segala tindakan dan penguatkuasaan bidangkuasa oleh Peguam Negara. Wakil-wakil rakyat harus diberikan kuasa untuk bersuara kerana mereka telah diundi untuk melaksanakan tugasan tersebut. MADANI tidak harus lupa akan prinsip utama ini.

MUDA juga berpandangan bahawa proses pelantikan Pendakwa Raya itu wajar melalui tapisan Jawatankuasa Pilihan Parlimen secara dwi-partisan. Pendakwa Raya yang telah dilantik juga kemudiannya boleh diwajibkan untuk melaporkan kepada Parlimen prestasi atau sebarang tindakan dan keputusan yang melibatkan kepentingan awam.

BAHANA KUASA TIDAK TERBATAS

MUDA juga turut bimbang apabila RUU ini menggunakan frasa “menurut budi bicara” YDPA bagi pelantikan Pendakwa Raya. Ini tidak seperti kebiasaan “atas nasihat” yang diguna pakai bagi pelantikan jawatan tertinggi lain seperti Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara. 

Dalam kerangka Raja Berperlembagaan, Perkara 40(1A) memperuntukkan bahawa YDPA hendaklah bertindak mengikut nasihat Eksekutif. Perubahan frasa ini menimbulkan persoalan asas jika ada pengecualian khusus bagi jawatan Pendakwa Raya ini.

MUDA juga bersetuju dengan pandangan beberapa ahli-ahli Parlimen “backbenchers” bahawa tempoh perkhidmatan selama tujuh tahun membuka ruang untuk jawatan ini dijadikan sebagai lubuk kuasa. 

Jangan kita sesekali lupa ingatan “power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely".

Oleh itu, MUDA mendesak agar bacaan kedua RUU ini ditangguhkan serta dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk langkah-langkah revisi seterusnya. Tiada guna kita tergesa-gesa meluluskan pindaan undang-undang yang hanya gah atas nama tetapi tiada ketelusan dan tidak membebaskan peranan sebenar jawatan-jawatan besar ini. 
MUDA Desak RUU Pindaan Perlembagaan Berkenaan Pemisahan Peguam Negara Dan Pendakwa Raya Diteliti Semula