40% Hak Sabah: Penangguhan Bukan Penamat, Tetapi Menguji Komitmen Politik PMX

Faezrah Rizalman

Naib Presiden, MUDA

06 April 2026

  1. Jika benar kerajaan komited untuk menyelesaikan isu 40% Sabah, penangguhan ini tidak sepatutnya berlaku. Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan semakan kiraan 40% hasil Sabah adalah sesuatu yang mengecewakan.

  2. Keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini telah menetapkan garis masa yang jelas melalui tempoh 90 hari dan 180 hari. Garis masa ini mewujudkan disiplin serta tekanan yang diperlukan untuk memastikan isu ini akhirnya diselesaikan secara menyeluruh selepas sekian lama tertangguh.

  3. Namun, dengan kebenaran penangguhan ini, disiplin tersebut telah diketepikan. Garis masa yang sebelum ini mengikat kini tidak lagi terpakai, dan ini secara langsung mengurangkan tekanan terhadap Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan semakan serta memuktamadkan mekanisme pembayaran kepada Sabah dalam tempoh yang ditetapkan.

  4. Saya juga berpendapat perkembangan ini membawa kita ke satu langkah ke belakang. Fokus kini kembali tertumpu kepada soal komitmen politik, keadaan yang sama sebelum keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2025.

  5. Tindakan kerajaan memohon penangguhan ini walaupun Ph sendiri juga yang berjanji di dalam manifesto PRU 2022 menunjukkan bahawa PMX tidak ikhlas dengan komitmen kepada Sabah.

  6. Dalam keadaan ini, adalah wajar untuk Kerajaan Persekutuan terus mengadakan perbincangan secara lebih aktif dengan Kerajaan Sabah untuk menunjukkan komitmen yang jelas, walaupun proses rayuan sedang berjalan.

  7. Keterlibatan berterusan adalah penting untuk memastikan semakan dan pembayaran 40% dapat dilaksanakan secara tuntas.

  8. Isu ini bukan sekadar persoalan teknikal atau perundangan. Ia adalah soal keadilan fiskal, integriti perlembagaan, dan tanggungjawab terhadap rakyat Sabah.

  9. ⁠Ia juga menjadi ujian nyata terhadap kesungguhan Kerajaan Madani untuk menghormati hak rakyat Sabah yang telah lama tertangguh.

  10. Hak Sabah bukan untuk dirunding tanpa penghujung. Ia adalah hak yang telah lama tertangguh, dan setiap kelewatan hanya menghakis keyakinan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan untuk menunaikannya.

Faezrah Rizalman
Naib Presiden, MUDA
Kenyataan Media Rasmi

Dokumen rasmi dalam format PDF

Muat Turun Kenyataan