Cadangan memulihkan penyertaan kepimpinan politik Myanmar dalam mesyuarat penting ASEAN mesti dinilai berdasarkan perubahan sebenar untuk rakyatnya, bukan sekadar kesediaan pemimpinnya kembali ke meja diplomasi.
Lima tahun selepas sekatan penyertaan peringkat tertinggi dikenakan, perang saudara masih berterusan. Namun, kegagalan sekatan menamatkan konflik bukan bukti bahawa penyertaan semula tanpa syarat akan membawa keamanan.
Pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar telah didokumentasikan di peringkat antarabangsa. Mekanisme Penyiasatan Bebas PBB bagi Myanmar melaporkan bukti serangan sengaja terhadap orang awam, penyeksaan dan keganasan seksual oleh tentera Myanmar yang terus berlaku. Dengan rekod sebegini, apakah asas untuk kita yakin bahawa kelonggaran diplomatik akan menghasilkan perubahan tanpa tuntutan dan pertanggungjawaban yang tegas?
Bagi Malaysia, ini bukan isu yang jauh daripada kehidupan kita. Sekitar 90 peratus pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di negara ini berasal dari Myanmar. Krisis di sana mempunyai kesan langsung terhadap tanggungjawab kemanusiaan dan pengurusan pelarian di sini.
Isu pelarian di Malaysia tidak akan selesai hanya dengan memberikan laluan tanpa syarat kepada kepimpinan Myanmar untuk kembali menghadiri mesyuarat penting ASEAN. Rakyat Malaysia berhak menuntut penyelesaian serantau yang nyata, bukan sekadar pentas dan gambar bersama pemimpin.
Di Manila pada 15 hingga 17 November ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti menegaskan bahawa sebarang pemulihan penyertaan perlu dibuat secara bersyarat dan berperingkat. Mesti ada hitam putih: penghentian keganasan terhadap orang awam, akses bantuan kemanusiaan, dialog inklusif dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, dengan tempoh, pemantauan bebas serta akibat yang jelas jika komitmen dicabuli.
Ini mesti disertai tanggungjawab pihak berkuasa Myanmar menangani punca rakyatnya melarikan diri, serta kerjasama dengan UNHCR dan negara penerima. Kepulangan pelarian hanya boleh berlaku secara sukarela, selamat dan bermaruah. Pelarian tidak boleh dijadikan mangsa kepada kegagalan politik pemimpin mereka.
Kebimbangan bahawa hubungan dua hala Myanmar dengan negara anggota akan melemahkan pengaruh ASEAN tidak boleh dijadikan alasan untuk merendahkan tuntutan hak asasi manusia. Begitu juga kepentingan ekonomi dan kestabilan politik serantau.
Sebagai Setiausaha Agung MUDA dan rakyat Malaysia, saya mahu negara kita konsisten mempertahankan maruah manusia. Kewibawaan Malaysia diukur melalui prinsip yang kita pertahankan ketika membuat keputusan sukar.
PM Anwar tidak boleh memandang ringan perkara ini. Diplomasi mesti membawa perlindungan kepada rakyat dan pertanggungjawaban kepada pihak yang melakukan kekerasan. Malaysia mesti menuntut hasil itu sebelum menyokong sebarang kelonggaran.