Pengerusi MUDA Sabah

02 May 2025

Di Manakah Kedudukan Malaysia Sebagai Negara Berkecuali?

Keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan tarif perdagangan bukan suatu perkara baharu. Sebelum ini, Presiden Donald Trump, pada penggal pertamanya, pernah mengambil langkah serupa, walaupun kali ini skop dan kadar tarif jauh lebih menekan. Sama ada sekutu atau lawan, semua negara dikenakan tarif asas dan timbal balik, termasuk Malaysia yang kini terpaksa menanggung tambahan tarif sebanyak 34%.

Namun jika situasi ini diperhalusi, pertembungan sebenarnya adalah usaha AS untuk membawa pulang semula pelaburan dan peluang pekerjaan syarikat-syarikat multinasional yang sebelum ini berpindah ke luar negara atas faktor kos dan rantaian bekalan global. Paksi utama dalam pertembungan ini sudah tentunya China, sebagai negara utama pengeluar barangan global.

Justeru, tidak mengejutkan apabila China menjadi sasaran utama tarif AS sehingga mencecah 145%, yang kemudiannya dibalas China pada kadar 125%. Tindakan balas China ini sekurang-kurangnya membuka ruang dialog apabila kerajaan AS mengumumkan penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari.

BAGAI PELANDUK ANTARA DUA GAJAH

Malaysia, sebagai negara berkecuali, jelas tersepit di tengah pertembungan dua kuasa ekonomi besar ini. Ketika Malaysia mengambil langkah berunding dengan AS, China pula giat memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia, Kemboja dan Vietnam. Malah, lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia merupakan lawatan pertama dalam tempoh 12 tahun, melibatkan 31 memorandum persefahaman (MoU) dua hala.

Walaupun naratif rasmi menonjolkan "hubungan strategik ke arah masa depan bersama" MUDA melihat keterangkuman hubungan Malaysia-China perlu ditangani dengan penuh kewaspadaan. Penglibatan China bukan sahaja terbatas dalam aspek perdagangan, tetapi merangkumi sektor pengangkutan, logistik, ekonomi digital,
infrastruktur, keselamatan, dan pendidikan. Pengaruh meluas ini jelas terlihat dalam aset strategik negara seperti kemudahan internet, rangkaian telekomunikasi, pelabuhan, dan laluan kereta api yang merentasi Pantai Barat ke Pantai Timur Semenanjung. Malah, timbul rungutan bahawa tempat pengajian pasca-siswazah di universiti awam semakin didominasi oleh pelajar China yang kurang fasih berbahasa Inggeris.

Hal ini diperkukuhkan dengan amaran jurucakap Kementerian Perdagangan China yang menyatakan China akan mengambil langkah balas secara tegas terhadap negara yang berpihak kepada AS dalam isu ini. Walaupun tidak jelas sama ada amaran tersebut terhad kepada aspek perdagangan sahaja, objektif geoekonomi China ini nyata berkait rapat dengan hala tuju geopolitiknya. Contohnya, tidak lama selepas Presiden Xi Jinping pulang dari lawatannya ke tiga negara Asia Tenggara, kita dikejutkan dengan pertikaian maritim baharu antara Filipina dan China di kawasan Sandy Cay di Laut China Selatan.

PERANGKAP SAMAR AS

MUDA menyokong tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz yang proaktif berunding dengan Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dan Ketua Wakil Dagang AS, Jamieson Greer. Delegasi Malaysia menuntut beberapa perkara penting, antaranya pengurangan tarif dan perluasan senarai pengecualian eksport. Hasil rundingan, AS bersetuju untuk mewujudkan gerak kerja dua hala bagi memperhalusi aspek teknikal berkaitan.

Namun begitu, MUDA berpandangan AS tidak akan berganjak tanpa jaminan tambahan seperti peningkatan pembelian barangan buatan AS, pelaburan lebih besar dan kerjasama strategik daripada syarikat atau badan milik kerajaan Malaysia. Selain itu, Malaysia mungkin akan diminta mengetatkan piawaian dagangan dan penguatkuasaan kastam terhadap barangan dari China serta negara-negara ASEAN lain yang terlibat dalam strategi China +1.

Ini bermaksud, dari awal lagi Malaysia berada dalam posisi rundingan yang lemah. Pelaburan syarikat multinasional AS di Malaysia juga boleh ditarik balik sebagai sebahagian daripada strategi 'reshoring' atau 'nearshoring' yang diinginkan Trump. Jika ini berlaku, syarikat kecil dan sederhana tempatan akan terjejas akibat gangguan rantaian bekalan, sekali gus memberi kesan negatif kepada pekerjaan tempatan.

AMBIL JALAN TENGAH

Walaupun dalam pemikiran kerajaan MADANI Malaysia masih sebuah negara berkecuali, situasi ini tidaklah begitu jelas pada pandangan kuasa besar dunia. Di mata AS, kita ditekan untuk menerima rundingan berat sebelah, manakala China pula menawarkan pelbagai peluang atas nama pembangunan yang sebenarnya lebih menguntungkan agenda strategik Belt and Road Initiative mereka. Pengkritik lazimnya bertanya, "apakah solusi yang MUDA tawarkan?" Persoalan ini tidak boleh dijawab secara simplistik. Ia memerlukan refleksi mendalam tentang identiti dan strategi hubungan
antarabangsa Malaysia. Jikalau benar Malaysia berhasrat untuk kekal sebagai sebuah berkecuali, kita tidak boleh “main dua kolam”.

Sebagaimana pengalaman Filipina, Malaysia juga mungkin akan berhadapan dilema serupa apabila berdepan tuntutan China di Laut China Selatan, sambil terus bergelut dengan ketidakpastian dasar politik AS.