Pegawai Khas Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq

08 July 2025

RUU URA Mirip Rompakan Di Siang Hari

Sesi Parlimen Mesyuarat Kedua akan bermula dalam tempoh 14 hari. Ada barangkali persidangan kali ini akan menyaksikan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) dibentang untuk bacaan kedua dan ketiga di Parlimen. Dengan adanya majoriti dua pertiga MADANI, RUU URA ini bakal dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat dan sekaligus mendedahkan rakyat termiskin kepada suatu gentrifikasi terancang dan secara besar-besaran.

Naratif yang dibawa menerusi RUU URA ini lazimnya diketengahkan oleh kerajaan MADANI sebagai usaha untuk membangunkan semula kawasan perumahan bandar yang daif dan uzur. 

Nga Kor Ming, Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu sendiri telah mengaturkan “lawatan” kepada Ahli Parlimen untuk melihat flat-flat yang digambarkan sebagai “hidup segan, mati tak mahu.” 

Walaupun hakikatnya ada segelintir bangunan-bangunan kediaman di kawasan bandar yang perlu diperbaik dan dilengkapi dengan kemudahan asas, ia tidak semestinya dijadikan sebagai asas kepada pengambilan hak milikan rakyat secara paksa.

PEMILIK HILANG SUARA
Pertamanya, rakyat perlu ambil cakna bahawa kesan RUU URA ini akan membolehkan kerajaan untuk mengabaikan suara satu per lima daripada pemilik sekiranya bangunan tersebut telah berusia sekurang-kurangnya tiga dekad. Mereka yang telah lama mendiami kediaman berstrata dan menjadi kawasan tersebut sebagai identiti komuniti mereka boleh diusir atas keputusan majoriti.

Walaupun RUU URA ini ada memperuntukkan agar pampasan yang setimpal diperuntukkan, perspektif ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa “cash is king” tanpa mengambil kira nilai sejarah, identiti dan komuniti yang telah tertanam dalam hidup pemilik yang terkesan. Situasi ini tidak ubah seperti yang berlaku di Kampung Kerinchi di mana sesetengah kawasan yang dilihat sebagai “strategik” telah dirobohkan untuk membina kondominium mewah dan kemudahan komersil yang kini lebih dikenali sebagai Bangsar South. 

Seperti yang berlaku di Bangsar South, kawasan-kawasan yang dibangunkan ini akan kemudiannya menjadi tapak baru pemaju-pemaju untuk dibangunkan bagi mereka yang berduit, yakni seperti syarikat, spekulator hartanah, pembeli dan penyewa dari luar negara, serta individu berpendapatan tinggi. 

Akibatnya identiti dan demografi komuniti asal Kampung Kerinchi itu semakin terhakis apabila semakin ramai penduduk asal dipindahkan ke rumah-rumah flat yang dibina kerajaan ataupun di penempatan lain.

DUIT PEMAJU BUKAN SEGALA-GALANYA
Pengambilan hak milik secara paksa ini juga tidak mengambil kira faktor luaran yang tidak kurang pentingnya kepada mereka yang telah lama menetap di sesuatu kawasan. Kita ambil situasi di Kampung Baru di mana sesebuah kawasan kejiranan itu turut didiami ahli-ahli keluarga lain seperti datuk dan nenek, adik beradik dan juga saudara mara. Itu belum ambil kira lagi kemudahan dan akses yang telah tersedia sekitar Kampung Baru yang sukar digantikan dengan penempatan yang terletak lebih jauh dari pusat bandar.

Walaupun RUU URA ini dinamakan seolah-olah hanya bahagian bandar yang terkesan, hakikatnya impak kepada RUU akan turut merangkumi kawasan pentadbiran daerah yang penduduknya kurang daripada 10,000 orang. 

Penduduk di kawasan luar bandar perlu ambil cakna memandangkan RUU URA ini juga berhak “memperbaharui” tanah hak milik mereka dalam aspek-aspek berkaitan seperti menerusi penukaran kategori, pembahagian, penyempadanan semula dan pencantuman tanah. 

Pembaharuan apakah yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan MADANI daripada tanah-tanah milikan rakyat ini bukan sahaja tidak jelas, bahkan merisaukan memandangkan semakin banyak tanah berstatus agrikultur yang ditukar statusnya telah dimajukan sebagai kawasan perumahan yang tidak semestinya mampu milik.

SUARA RAKYAT, SUARA KERAMAT
MUDA tidak menentang pembaharuan dan pembangunan. 

Tetapi apa yang ditekankan MUDA adalah supaya modus operandi pembangunan itu dimanupilasi oleh golongan kaya dan pemaju yang berkepentingan. RUU URA kerajaan MADANI ini mempunyai lompongan yang boleh diambil kesempatan oleh kelompok-kelompok ini. 

Penekanan yang sesuai adalah dalam mengenalpasti terlebih dahulu bangunan atau penempatan yang dikategorikan sebagai daif dan usang ini. Ini kemudiannya perlu disusuli dengan satu kumpulan kerja dari pelbagai bidang (seperti arkitek, guaman, kejuruteraan, pembangunan bandar, pemaju dan kerajaan) untuk menyediakan suatu pelan yang boleh dirunding bersama dengan persatuan penduduk dan pemilik. Pelan yang baik lazimnya tidak akan mentah-mentah ditolak pemilik.

Cara pendekatan yang begini adalah lebih organik, mesra rakyat dan seimbang apabila pemilik jelas dengan hala tuju pembangunan yang mereka persetujui bersama. 

Ini berbeza dengan apa yang dimahukan MADANI apabila satu-satunya penanda aras adalah tempoh hayat bangunan dan juga jumlah peratusan penduduk minima yang hanya dilihat daripada penerimaan wang pampasan semata-mata. 

Kalau benarpun tempat tinggal rakyat itu daif dan usang, hina benarkah rakyat Malaysia ini apabila solusi yang dibawa MADANI itu adalah untuk merobohkan hak yang dimiliki itu tanpa sebarang persetujuan? 

MUDA akan pastikan RUU URA sedia ada akan terus ditentang selagi deraf “versi pemaju” ini masih tidak dipinda dalam sidang Parlimen akan datang ini.