Malaysia mahu menjadi negara AI menjelang 2030.
Saya mengalu-alukan hasrat itu. Penubuhan AI Malaysia Berhad merupakan langkah penting, dan Malaysia wajar berfikir secara serius tentang bagaimana kecerdasan buatan (AI) akan mengubah ekonomi, perkhidmatan awam dan masyarakat kita.
Namun, cita-cita tidak sama dengan kesiapsiagaan. Sebelum kita bertanya sama ada Malaysia mampu menjadi negara AI menjelang 2030, kita perlu mengemukakan soalan yang lebih asas: sudahkah kita selesai menjadi sebuah negara digital?
Malaysia tidak bermula dari kedudukan yang lemah. Kita mempunyai ekonomi digital yang agak besar, sektor teknologi yang sedang berkembang, pelaburan pusat data yang besar dan asas bakat teknikal yang agak kukuh. Namun, kesiapsiagaan AI tidak boleh dikelirukan dengan transformasi digital yang telah selesai.
Kerajaan sendiri mengakui masih ada kerja yang perlu dilakukan. Malaysia Digital 2030 (MD2030) menyasarkan 95% perkhidmatan kerajaan boleh diakses dalam talian dari awal hingga akhir, dan ini harus kekal sebagai keutamaan. Masih ada perkhidmatan yang pengalaman digitalnya belum setanding apa yang mampu ditawarkan oleh teknologi. Seorang rakyat tidak sepatutnya perlu mencetak borang, memfotostat kad pengenalan dan beratur di kaunter untuk pengesahan secara manual, hanya untuk mendapati data yang sama ditaip semula ke dalam sistem lain. Kita tidak memerlukan kecerdasan buatan untuk memberitahu kita bahawa ini tidak cekap.
Pendekatan digital-first perlu mendahului AI-first.
Prinsip itu lebih penting lagi apabila kita mengambil kira geografi Malaysia. Perkhidmatan digital yang berfungsi dengan cemerlang di Kuala Lumpur tetapi tidak boleh diharap, sukar diakses atau sukar digunakan di luar bandar Sabah atau Sarawak bukanlah transformasi digital negara yang berjaya. Jurang digital bukan sekadar soal akses internet, tetapi juga kualiti sambungan, akses kepada peranti, literasi digital dan keupayaan institusi awam untuk beroperasi secara digital. Teknologi kita yang paling canggih tidak seharusnya sekadar menjadikan Kuala Lumpur lebih mudah. Ia harus membantu merapatkan jurang antara rakyat Malaysia yang sudah menikmati perkhidmatan digital yang baik dengan mereka yang belum.
Penelitian yang sama terpakai kepada Pelan Tindakan AI Kebangsaan. Pelan ini mengandungi 28 inisiatif nasional, dan sasarannya termasuk menambah 0.8 hingga 1.2 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK tahunan, mewujudkan 300,000 hingga 500,000 pekerjaan berkaitan AI, serta meletakkan Malaysia dalam kalangan 10 negara teratas dunia dari segi kesiapsiagaan AI menjelang 2030. Ini sasaran yang bermakna, tetapi pelan ini dilancarkan pada 2026, meninggalkan tempoh yang agak singkat untuk melaksanakan agenda seluas ini. Dengan masa yang suntuk, strategi bukan lagi kekangan. Pelaksanaanlah cabarannya.
Mampukah kita membangunkan bakat pakar, keupayaan pengkomputeran dan infrastruktur data domestik yang diperlukan untuk menyokong pelan ini? Adakah institusi awam kita mempunyai kapasiti teknikal untuk melaksanakannya secara konsisten? Adakah manfaatnya akan sampai kepada rakyat Malaysia di luar pusat-pusat digital kita yang paling maju?
Cara kita mengukur pelaksanaan juga penting. Kita mudah tergoda untuk mengira penggunaan: berapa ramai orang menggunakan AI, berapa banyak syarikat menerapkannya, berapa banyak pelaburan asing yang kita tarik, berapa banyak pusat data yang kita bina. Penunjuk ini berguna, tetapi ia tidak memberitahu kita sama ada Malaysia sedang membina keupayaan AI yang sebenar.
Pusat data menunjukkan sebabnya. Pusat data menggunakan tenaga elektrik yang sangat besar dan, bergantung pada reka bentuknya, sejumlah besar air, jadi kita wajar bertanya sama ada sumber tenaga, grid dan air kita mampu menampung pertumbuhan itu. Kita juga wajar bertanya apa yang Malaysia perolehi sebagai balasan. Menjadi hos kepada infrastruktur syarikat global mewujudkan pekerjaan dan aktiviti ekonomi, tetapi itu tidak bermakna Malaysia secara automatik sedang membina keupayaan atau menikmati nilai teknologi yang dihoskan di sini. Kita mesti memastikan kita bukan sekadar mengeksport tenaga dan air kita untuk memproses data, sambil mengimport algoritma siap pakai dengan harga premium.
Inilah perbezaan antara menggunakan AI dengan membina keupayaan untuk mencipta AI. Sewajarnya diakui, Pelan Tindakan AI Kebangsaan menyedari hal ini. Ia memuatkan hasrat untuk membangunkan set data tempatan yang dipercayai, model AI peribumi dan infrastruktur pengkomputeran yang selamat, selain ekosistem inovator AI Malaysia yang berdaya saing.
Bahagian yang sukar ialah menterjemahkan hasrat itu menjadi keupayaan yang sebenar. Malaysia pasti akan menggunakan model dan teknologi yang dibangunkan di tempat lain, dan tiada salahnya dengan itu. Namun, untuk menjadi negara AI, kita memerlukan lebih daripada sekadar melatih semula tenaga kerja untuk menggunakan AI. Kita memerlukan insan yang mampu membina dan menilai model, mereka bentuk infrastruktur AI dan menjalankan penyelidikan keselamatan, supaya Malaysia dapat mencipta dan mengawal lebih banyak keupayaan sendiri, bukannya menjadi pasaran yang lebih besar bagi teknologi milik pihak lain.
Membina keupayaan juga bermakna memahami risikonya, dan risiko itu kini semakin mendesak. Kita tidak lagi bercakap tentang maklumat salah, privasi atau pekerjaan semata-mata. Pada Julai 2026, model AI yang digunakan dalam satu penilaian keselamatan OpenAI berjaya melepasi persekitaran ujian terkawal dan menceroboh infrastruktur pengeluaran Hugging Face, menunjukkan bagaimana sistem autonomi boleh bertindak dengan cara yang tidak dijangka oleh pembangunnya. Penyelidik dan malah tokoh kanan industri kini terbuka membahaskan sama ada pembangunan AI bergerak lebih pantas daripada keupayaan kita untuk memastikan sistem ini selamat dan terkawal.
Semua ini bukan alasan untuk Malaysia berundur daripada AI. Ia alasan untuk mengambil serius keselamatan AI. Itulah sebabnya Institut Keselamatan AI Malaysia (MY-AISafe) merupakan salah satu elemen terpenting dalam strategi AI Malaysia, dan mengapa ia wajar mendapat bukan sahaja sokongan kita, malah cita-cita yang lebih besar. Jika Malaysia mahu menjadi negara AI, ia harus mampu menguji sama ada sistem AI selamat, memahami cara sistem itu boleh gagal dan menyumbang kepada penyelidikan keselamatan AI antarabangsa.
Cadangan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI merupakan sebahagian daripada usaha yang sama. Apabila AI semakin tertanam dalam sistem kritikal, kepercayaan, akauntabiliti dan keselamatan menjadi sebahagian daripada infrastruktur yang membolehkan inovasi berlaku.
Semua ini bergantung kepada manusia: rakyat Malaysia yang akan membina, mentadbir dan akhirnya hidup bersama sistem ini. Matlamatnya bukan sekadar menerapkan AI dengan lebih pantas. Matlamatnya ialah membina ekosistem AI yang mencerminkan Malaysia, berkhidmat kepada rakyat Malaysia dan memberi anak bangsa sendiri keupayaan untuk membentuk teknologi itu, bukan sekadar menjadi penggunanya.
Itu bermakna melabur dalam bakat. Ia bermakna membangunkan infrastruktur dan keupayaan pengkomputeran domestik. Ia bermakna menyokong penyelidikan dan syarikat Malaysia. Ia bermakna membina institusi yang mampu mentadbir AI dan memastikannya selamat.
Dan ia bermakna mengingati bahawa seorang rakyat Malaysia di pedalaman Sabah harus sama pentingnya dalam takrifan kemajuan teknologi kita seperti sebuah syarikat yang beroperasi dari pusat data baharu di Cyberjaya.
Malaysia harus bercita-cita tinggi dalam AI.
Tetapi kita juga harus memastikan asasnya betul.





