Tiadanya Pilihan Raya PBT - Satu Lagi Kegagalan Madani

By: Adam Azrai Mazli

Published: 12 March 2025

Saban tahun, isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) akan kembali menjadi perbincangan yang sering digambarkan sebagai mustahil untuk dilaksanakan. Menariknya, setelah dua tahun kerajaan MADANI memerintah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, memberi bayangan bahawa pilihan raya PBT tidak akan dilaksanakan sehingga tamat penggal pentadbiran kerajaan MADANI. Menurut Nga Kor Ming, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zaliha Mustafa turut bersependapat agar pilihan raya PBT tidak diadakan.

Selama ini, pihak yang paling lantang menentang pelaksanaan pilihan raya PBT datang daripada gabungan Perikatan Nasional dan juga UMNO. Lazimnya, retorik penentangan ini masih berlegar dalam konteks lewat 60-an, ketika majoriti populasi di bandar adalah daripada kaum bukan Melayu.

Hakikatnya, pertumbuhan populasi dan migrasi dari luar bandar telah menyebabkan kawasan bandar semakin mencerminkan demografi populasi nasional, yang mana majoritinya kini terdiri daripada Melayu dan Bumiputera. Kemomokan isu perkauman ini malangnya mengalihkan perhatian rakyat daripada keperluan sebenar yang jauh lebih penting, iaitu memastikan pentadbiran setempat yang cekap dan bertanggungjawab.

Representasi Suara Rakyat

Apa yang berlaku sekarang adalah biarpun urbanisasi terus berkembang pesat, pihak berkuasa tempatan masih beroperasi tanpa mandat dan akauntabiliti rakyat. Perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan, lebih-lebih lagi dengan adanya kesan perubahan iklim dan tekanan pembangunan yang tidak seimbang sebagaimana jelas dilihat dalam isu banjir kilat yang kerap berlaku.

Tanpa adanya pilihan raya PBT, secara tidak langsung rakyat tidak mempunyai akses kepada proses pemilihan perwakilan mereka di peringkat berkuasa tempatan. Walhal, PBT merupakan lapisan kerajaan paling dekat dengan rakyat, seperti dalam menangani isu-isu asas seperti lampu jalan rosak, jalan berlubang dan longkang tersumbat. Wakil-wakil PBT seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya untuk mendengar cadangan dan keluhan penduduk setempat.

Ketiadaan Semak Imbang Pentadbiran

Hak untuk memilih wakil PBT ini tidak lagi dikembalikan kepada rakyat setelah Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Akta 473) dimansuhkan sejak tahun 1976. Hari ini, rakyat terpaksa mewarisi sistem di mana wakil-wakil PBT terdiri daripada ahli-ahli parti politik yang dilantik tanpa penglibatan penduduk tempatan. Sama ada mereka menjalankan tugas dengan baik atau tidak, rakyat tidak ada kuasa untuk menilai atau menghukum prestasi mereka, walaupun gaji wakil-wakil ini dibiayai hasil percukaian rakyat.

Pemusatan kuasa kepada segelintir pemimpin politik ini tidak wajar berlaku, terutama apabila PBT berkuasa meluluskan peruntukan besar untuk pengurusan dan pembangunan. Misalnya, peruntukan cadangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebanyak RM449 juta hampir setanding dengan peruntukan Kementerian Perpaduan sebanyak RM635 juta. Bezanya, ahli-ahli Parlimen mempunyai ruang untuk menyemak perbelanjaan Kementerian Perpaduan, tetapi tidak pula ada ruang perbahasan terbuka untuk menyemak imbang keputusan wakil-wakil PBT yang dilantik.

Perubahan Perlu Bermula Dari Atas

Sudah 62 tahun berlalu sejak negara kita kali terakhir mendukung prinsip demokrasi di peringkat PBT. Hak ini asalnya merupakan sesuatu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, yang mana kerajaan negeri telah memberi kuasa di bawah Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk melaksanakan pilhan raya PBT.

Malangnya, pelantikan ahli majlis kini hanya boleh dilakukan secara lantikan berikutan pengenalan Akta Kerajaan Tempatan 1973 (Akta 171). Jika pilihan raya PBT mahu dilaksanakan semula, pindaan undang-undang perlu dilakukan untuk mengembalikan hak pemilihan dalam Akta 171.

Ini bermaksud sebarang pindaan memerlukan koordinasi bukan sahaja dari KPKT tetapi turut melibatkan menteri-menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri, terutamanya portfolio undang-undang dan Wilayah Persekutuan. Keputusan kerajaan akan akhirnya bergantung kepada hala tuju dasar Perdana Menteri serta barisan Kabinet secara kolektif.

Dalam hal ini, suka saya mengingatkan kepimpinan kerajaan MADANI akan catatan "Membangun Negara MADANI: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi" oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di muka surat 25:

Kerangka MADANI merupakan suatu ikhtiar yang bersepadu dan holistik… segala dasar yang digubal lebih manusiawi, sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.

Sedang ramai kini sudah bersuara, jangan sampai rakyat mula laungkan "cakap tidak serupa bikin".

---------------
Adam Azrai Mazli adalah Pegawai Khas kepada YB Amira Aisya, Pemangku Presiden MUDA. 
 

Ke Mana Hilangnya Makanan Ruji Rakyat Malaysia?

01 March 2025

Muda releases audit on flood fundraising

16 August 2024

Muda now identifies itself as social democratic party

14 June 2024