Naib Presiden MUDA & Aktivis Hak Asasi Manusia

25 August 2025

DNAA Zahid Hamidi Legasi Hitam MADANI

Isu keadilan sentiasa menjadi perhatian rakyat apabila pemimpin politik berprofil tinggi berdepan tuduhan di mahkamah. Persoalan utama yang timbul ialah sama ada undang-undang dikenakan sama rata atau masih ada ruang untuk pengaruh politik mencorakkan keputusan. 

Kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menjadi contoh paling jelas yang masih segar dalam ingatan. Pada 4 September 2023, beliau dilepaskan daripada 47 tuduhan berkaitan Yayasan Akalbudi melalui keputusan “discharge not amounting to an acquittal” atau DNAA. 

Tuduhan tersebut melibatkan pecah amanah, rasuah serta pengubahan wang haram. Apa yang lebih penting, mahkamah telah memutuskan bahawa wujud kes “prima facie” terhadap beliau pada Januari 2022. 

Ini bermakna wujud bukti kukuh untuk kes diteruskan sekiranya pembelaan gagal menjawabnya. Namun, keputusan Peguam Negara untuk menghentikan prosiding menyebabkan tuduhan ini tidak diputuskan sepenuhnya dan hanya digantung tanpa tarikh.

Apa Maksud DNAA

Ramai masih keliru dengan maksud DNAA. Perbezaannya dengan pembebasan penuh amat ketara. 

Pembebasan penuh bermaksud tertuduh disahkan tidak bersalah dan tidak boleh lagi didakwa atas kes yang sama. DNAA pula bermakna prosiding dihentikan sementara tetapi tuduhan boleh dikemukakan semula pada bila-bila masa.

Selepas keputusan tersebut, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan dua kenyataan media. Kenyataan pertama memberi gambaran bahawa hakim sendiri telah menemui alasan kukuh untuk mengabsahkan DNAA.

Sebenarnya tidak begitu. 

Undang-undang menetapkan bahawa apabila AGC menarik balik pendakwaan, mahkamah hanya boleh memilih antara membebaskan sepenuhnya atau melepaskan sementara.

Kenyataan kedua pula menyenaraikan sebelas alasan. 

Namun selepas diteliti, hanya ada dua perkara teras iaitu wujud bukti baharu yang perlu diteliti dan terdapat keraguan tentang cara pendakwaan dikendalikan oleh pentadbiran terdahulu. 

Dua Tahun Yang Panjang

Sepanjang tempoh dua tahun belakangan ini, tiada sebarang pendakwaan baharu dikenakan terhadap Zahid. Keadaan ini menimbulkan persoalan serius. 

Jika benar terdapat bukti baharu, mengapa tiada tindakan lanjut diambil? 

Sekiranya benar wujud masalah dalam pendakwaan lama, mengapa ia tidak dijelaskan dengan lebih telus kepada rakyat?

Situasi ini menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara. Semakin lama tertangguh, semakin kuat persepsi bahawa undang-undang hanya berkesan terhadap rakyat biasa tetapi longgar apabila melibatkan pemimpin berkuasa. 

Erti Sebuah Amanah

AGC mempunyai tanggungjawab besar untuk menjelaskan kedudukan sebenar. Dua pilihan perlu dibuat dengan segera; iaitu sama ada AGC mendakwa semula Zahid berdasarkan alasan yang dikemukakan sebelum ini atau memberi penjelasan mengapa kes ini tidak bergerak. 

Tindakan berdiam diri bukanlah pilihan kerana ia hanya menambah keraguan terhadap ketelusan institusi.

Lebih membimbangkan, kelewatan ini bukan sahaja memberi kesan kepada imej kerajaan tetapi juga mencalar reputasi institusi undang-undang. Rakyat akan semakin hilang keyakinan bahawa reformasi yang dijanjikan benar-benar dilaksanakan atau hanya dijadikan retorik politik.

Berani Kerana Benar

Ketika negara menghampiri ulang tahun kedua keputusan DNAA Zahid, rakyat wajar bertanya sama ada kes ini akan dilupakan begitu sahaja. 

Inilah sebabnya MUDA mengambil pendirian lantang. 

Kami bukan sahaja melancarkan kempen mendesak kes Zahid dibuka semula, malah menegaskan bahawa rakyat berhak tahu bagaimana seorang pemimpin kerajaan boleh terlepas daripada pertuduhan-pertuduhan berat yang sebanyak itu. 

Walaupun Setiauaha Agung MUDA telah menerima ugutan saman daripada pihak Zahid, kami bertegas kebenaran mesti dipertahankan di mahkamah terbuka. 

Lebih daripada itu, MUDA turut menuntut reformasi menyeluruh termasuk pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya supaya kes-kes berprofil tinggi tidak lagi digantung mengikut kehendak politik.