Luluskan MUDA Dalam Kadar Segera

Kenyataan Media

LULUSKAN MUDA DALAM KADAR SEGERA

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyambut baik keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) bagi meluluskan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), seperti yang diumumkan hari ini.

Namun begitu, jangan dilupa bahawa kelulusan ini diberi selepas tempoh masa panjang, yang akhirnya terpaksa dibawa ke mahkamah selepas lebih setahun pendaftaran dihantar. Mahkamah pada 25 Jun 2021 memutuskan agar Menteri Dalam Negeri memberikan maklumbalas terhadap pendaftaran Pejuang dalam tempoh 14 hari.

Kebebasan berpersatuan adalah hak fundamental yang dijamin oleh Perlembagaan dibawah Perkara 10, selain dinyatakan di dalam Perkara 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

MUDA ingin sekali lagi menegaskan, seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), supaya reformasi undang-undang dilaksanakan segera bagi meminda Akta Pertubuhan 1966, yang antara lain:

  1. Tidak memperuntukkan satu tempoh masa bagi meluluskan pendaftaran sesuatu persatuan;
  2. Memberi kuasa yang terlalu besar kepada Menteri Dalam Negeri; dan
  3. Tidak memberikan sebab kepada penolakan kepada pendaftaran sesuatu persatuan.

Kami juga menggesa agar MUDA diluluskan dengan kadar segera.

-Tamat-

Amir Abd Hadi
Setiausaha Agung
Parti Ikatan Demokratik (MUDA)

8 Julai 2021

Scroll to Top